Jumaat, 5 Oktober 2018 | 10:38am
Pekerja wanita dan suri rumah antara patut diberi perlindungan PERKESO.- Foto Arkib NSTP

Skim baharu PERKESO untuk suri rumah, balu

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang merangka skim perlindungan sosial baharu membabitkan golongan berisiko termasuk suri rumah dan balu.

Skim perlindungan sama juga dirangka membabitkan pekerja yang menjalankan perniagaan sendiri seperti penjaja, pekebun, penggiat seni dan nelayan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, pihaknya dijadualkan melaksanakan skim berkenaan secara berperingkat bagi menambah faedah seperti diperoleh oleh golongan pekerja lain.

Katanya, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) diperkenalkan tahun lalu bertujuan melindungi pekerja yang bekerja sendiri bermula dengan pemandu teksi atau seumpamanya.

“PERKESO bersedia memberi tumpuan kepada pekerja dalam sektor ekonomi baharu, membabitkan aktiviti berkaitan Revolusi Industri Keempat Industri (4.0), berasaskan ekonomi digital supaya mereka dilindungi mengikut akta sama.

“Golongan ini perlu mendapatkan caruman PERKESO, apabila dunia pekerjaan berubah mengikut perkembangan semasa,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Muhammad Azman - Foto Arkib NSTP

Mohammed Azman berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendedahkan kira-kira 13.7 juta pekerja di negara ini masih tidak dilindungi polisi perlindungan keselamatan sosial.

Jumlah itu membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius semua pihak, terutama majikan dan kerajaan.

Sehubungan itu, kerajaan menggesa PERKESO memperluaskan perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri, kepada semua lapisan pekerja dalam ekonomi baharu.

Perlindungan itu mengambil kira kebajikan dalam sektor tidak formal, tanpa mengabaikan kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), warga tua dan suri rumah.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 6.8 juta pekerja di seluruh negara direkodkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang disediakan.

“Namun, masih ramai pekerja tidak dilindungi di bawah jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Suri rumah, Norzilah Abdul Kamal, berkata wajar jika perlindungan sama diberikan kepada suri rumah dan balu.

Katanya, suami majikan boleh membuat potongan gaji untuk caruman kepada isteri sebagai perlindungan dengan kadar tidak membebankan.

Perlindungan itu sebagai persiapan berhadapan kejadian tidak diingini golongan itu seperti mendapatkan rawatan jika diserang penyakit kronik.

“Tidak dinafikan, ada peruntukan jika kematian suami, isteri menerima pencen ilat, namun, jika suri rumah dan balu dilindungi, mereka turut menikmati kemudahan sekiranya berlaku musibah, termasuk cacat kekal,” katanya.

211 dibaca
Berita Harian X