Isnin, 4 September 2017 | 1:31pm

Rahsia ratu cantik si tubuh genit


MILIKI pakej lengkap untuk ungguli Miss Malaysia Petite Spokes Person 2017. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bertubuh bertubuh kecil dengan ketinggian 163 sentimeter (cm) tidak menghalang Shubasini Revichandren, 28, merealisasikan impian menjadi model atau bergelar ratu cantik.

Bergelar ratu cantik ketinggian paling ideal ialah melebihi 170 cm, namun, 'tuah' memihak Shubasini apabila merangkul Miss Malaysia Petite SpokesPerson 2017, pada Mei lalu.

Dengan pengiktirafan itu, Shubasini mengecapi impiannya merangkul gelaran ratu cantik meskipun bertubuh genit, selain kejelitaan dan bakat lain dia ada.

Beliau yang juga seorang usahawan muda mengakui pencapaian yang diraih cukup memberi makna dan hadiah pada mendiang bapanya yang meninggal dunia lima bulan lalu iaitu sebulan sebelum beliau menyertai pertandingan itu.

"Saya anak sulung menjadi galang ganti tugas mencari rezeki dan kematian bapa adalah kehilangan besar buat kami sekeluarga.

"Kawan baik saya yang mendaftarkan untuk memasuki pertandingan ini. Saya tak sangka ia memberikan lembaran baharu dalam hidup saya.

"Sepanjang pertandingan kami diberikan pendedahan seperti peragaan, kemahiran sosial, pengucapan awam dan banyak lagi," katanya kepada BH Online.


SHUBASINI (tengah) ketika merangkul gelaran Miss Malaysia Petite Spokes Person 2017, Mei lalu.

Pertandingan itu disertai 25 peserta dengan tempat kedua dimenangi pelajar komunikasi, Yew Hoe Yan, 20, dari Klang dan peguam, Litsan Chong, 29, dari Kuala Lumpur.

Anggun mengenakan jumpsuits hitam, Shubasini tampak jelita, meyakinkan dan menggambarkan seorang yang tersusun tutur bicaranya.

Anak sulung daripada tiga beradik, ini mengakui pengiktirafan itu menyuntik keyakinan untuk tidak merendah diri, meyakini bakat dan berusaha menonjolkan kelebihan sendiri.

"Saya bangga memecahkan rekod lalu dengan memenangi lima kategori sampingan untuk siri tahun kedua. Sebagai tanda penghormatan, saya meletakkan mahkota dan selempang itu di sisi potret mendiang bapa.

"Sebenarnya ini ialah percubaan ketiga saya mencuba nasib dalam pertandingan ratu cantik. Cuma kali ini lain auranya, saya berazam mahu menang untuk 'dihadiahkan' pada mendiang," katanya yang mempunyai syarikat sendiri, Belladonna Pretty Lady.

Syarikatnya menjadi perantara pada syarikat kejuruteraan luar negara dan tempatan, selain membuka kelas peragaan.

Rahsia kulit mulusnya, gadis manis ini, berkata beliau mementingkan penjagaan kulit menggunakan serbuk kunyit.

"Rahsia ini dipraktikkan ibu saya, selain menggunakan beras, susu dan jus tomato yang dicampur bersama serbuk kunyit.

"Bahan ini dilumur pada seluruh badan yang dibiarkan sehingga kering. Ia berkesan untuk mengelakkan kedutan pada wajah dan melicinkan kulit," katanya.


SHUBASINI amalkan cara lama jaga kejelitaan wajah dan tubuh.

Beliau percaya makanan mencerminkan bentuk tubuh seseorang dan penjagaan makanan amat penting bermula daripada sekarang.

"Saya juga minum lebih lapan gelas air kosong setiap hari untuk kulit sihat, bersih dan tidak bermasalah.

"Ada kalanya saya menggunakan lendir lidah buaya untuk melembapkan kulit wajah dan badan, selain menggunakan bahan sama untuk pupur badan dua kali seminggu," katanya.

Pernah bekerja di dua syarikat penerbangan ternama, beliau turut berkongsi petua menggunakan daun Tulasi yang dikisar bersama susu untuk mendapatkan kulit cerah.

"Ini petua tradisi yang praktikkan sejak sekian lama dan sesuai untuk saya. Ini membuatkan saya yakin kaedah tradisional, selain bersenam tiga kali seminggu di gimnasium," katanya yang mempunyai ukur lilit tubuh 33-25-34 inci dada, pinggang dan pinggul serta berat 45 kilogram.

Dengan penganugerahan itu, beliau berharap dapat menggalakkan lebih ramai wanita yang bertubuh kecil supaya yakin dengan fizikal masing-masing.

"Saya seorang yang suka meluangkan masa mendekati golongan gelandangan, memberikan mereka makanan dan mendengar mereka bercerita. Ini memberikan kepuasan dan hidup kita lebih baik dari mereka.

"Bergelar ratu cantik memberikan saya reputasi tinggi meluaskan pergaulan dan mengajar erti syukur dan pemangkin inspirasi untuk menggapai impian menjadi seorang ahli perniagaan ternama nanti," katanya.

1927 dibaca
Berita Harian X