Ahad, 12 November 2017 | 2:23am
DARI kiri, Chee Chung, Ali Lee dan Tagishi pada pelancaran produk Panasonic Beauty di Petaling Jaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PRODUK kesihatan dan kecantikan Panasonic Beauty di pamerkan pada majlis pelancaran di One Utama. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tata rias pantas dan mudah

PETALING JAYA : Keinginan wanita untuk serba pantas, khususnya menata rias menyuntik idea baharu syarikat elektronik menyediakan produk pengering dan pelurus rambut serta urut kaki mudah.

Justeru, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic), menyediakan rangkaian segmen produk wanita bagi menambah pilihan baharu, iaitu 'Panasonic Beauty'.

Pengarah Urusannya, Cheng Chee Chung, berkata kebanyakan wanita berkerjaya mementingkan penampilan diri dan keadaan itu memberikan idea kepada jenama itu untuk terus berinovasi menghasilkan produk terbaik buat wanita.

"Ia membabitkan antara tiga hingga empat peratus daripada ratusan produk jenama. Walaupun ia dianggap kecil, tetapi sambutan wanita terhadap produk ditawarkan sangat memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan produk berkenaan di pusat beli-belah, 1 Utama di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Panasonic Corporation, Bahagian Pengurusan Panasonic Malaysia, Hiroyuki Tagishi.

Selebriti Hong Kong, Ali Lee turut diundang memeriahkan acara berkenaan.

Cheng Chee, berkata menerusi penyelidikan pasaran dilakukan, rata-rata wanita mahukan produk berkualiti, termasuk berupaya memelihara kecantikan diri.

"Wanita mahukan produk yang pintar. Sebab itu produk inovatif perlu sesuai dengan tawaran harga terbaik," katanya.

Pada masa sama, Cheng Chee berkata mereka turut melakukan antara 30 hingga 40 jelajah dalam setahun, untuk memastikan pelanggan mengetahui dengan jelas produk ditawarkan.

"Sejak 2015, kami memilih 'Make Beautiful Happen' sebagai tema. Ia sangat tepat dalam mempromosi kecantikan dalam erti kata lebih luas kerana cantik sebenar, merangkumi setiap aspek kehidupan," katanya.

Jenama itu sentiasa berinovasi, malah untuk produk pengering dan melurus rambut, ia direka menerusi teknologi perapian ion, iaitu tidak mudah merosakkan kesihatan rambut.

Suhu udara boleh dikawal secara automatik mengelakkan pemanasan melampau, sewaktu ia digunakan.

Untuk urut kaki mudah bawa, selain ringan, ia sesuai untuk merehatkan kaki selepas seharian bekerja.

Pelakon dan pengacara Hong Kong, Ali Lee, 35 antara pengguna setia jenama itu.

Katanya sebagai selebriti, beliau akan pastikan dandanan rambut dijaga rapi menggunakan produk mesra pengguna.

"Rambut selalu digayakan, menyebabkan saya perlu menggunakan pengering rambut. Keadaan itu menyebabkan saya perlu menggunakan peralatan yang tidak merosakkannya.

"Saya juga tertarik dengan alat urut kakinya. Ia mudah di bawa malah saya selalu bawa ke set penggambaran. Kalau ada masa terluang saya pasti menggunakannya untuk merehatkan kaki," katanya.

203 dibaca
Berita Harian X