Khamis, 30 November 2017 | 8:22am

Malaysia jadi hab produk kecantikan dan kesihatan

KUALA LUMPUR: Pengusaha produk kecantikan dan kesihatan tempatan mempunyai peluang luas bersaing dalam pasaran halal di peringkat global.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pasaran ini juga dilihat mampu menjadikan negara sebagai hab pengeluaran produk kosmetik halal.

"Pengusaha produk kecantikan dan kesihatan tempatan perlu sedar senario global yang semakin terbuka terhadap keperluan kosmetik halal.

"Bilangan penduduk Islam yang hampir satu perempat daripada populasi dunia menjadikan pasaran halal global antara yang terpenting.

"Oleh itu, Malaysia perlu berusaha memanfaatkan segmen halal barangan kecantikan dan kosmetik," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis minum petang bersama pengusaha produk kecantikan dan kesihatan tempatan, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, Erni Dekritawati Yuliana Buhari dan Presiden Pertubuhan Gagasan Kreatif Malaysia, Farah Haizum Manap.

Beliau juga mengingatkan pengusaha supaya mementingkan kualiti produk dan keperluan memenuhi piawaian ditetapkan kementerian berkaitan.

"Antaranya, mendapat pengiktirafan atau kelulusan pihak berkuasa seperti Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan Kementerian Kesihatan.

"Pencapaian satu standard yang tinggi dalam penghasilan produk perlu dan kalau boleh sehingga mencapai tahap piawaian antarabangsa," katanya.

482 dibaca
DATIN Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis minum petang bersama pengusaha produk kecantikan dan kesihatan tempatan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X