Rabu, 6 Disember 2017 | 3:52pm
KELAS solekan dikendalikan Siti Nurfarahain Zakaria di studio miliknya di Sungai Baru Gunung.- Foto ihsan Nurfarahain Zakaria
SITI Nurfarahain Zakaria

Budak kampung buat tutorial solekan

ALOR SETAR: Jurusolek yang dikecam di laman sosial berikutan membuat tutorial solekan dari Kota London dan Paris, bulan lalu bersyukur kerana rezekinya bertambah murah selepas insiden terbabit.

Siti Nurfarahain Zakaria, 29, berkata meskipun mengakui agak sedih apabila dikecam hebat antaranya dituduh sebagai budak kampung yang 'jakun' ketika membuat tutorial itu, namun beliau sama sekali tidak menyangka insiden berkenaan mendatangkan hikmah buat dirinya.

Farahain berkata, selepas insiden itu, beliau yang mempunyai 'School Of Makeup' ini semakin dikenali sekali gus menjadi pilihan wanita yang ingin mempelajari asas persolekan.


SITI Nurfarahain mempunyai 946,078 pengikut di Facebook. - Foto ihsan Nurfarahain Zakaria

"Mula-mula saya akui agak terkesan dan sedih apabila mendapat tahu video yang saya rakam menampilkan tutorial solekan ketika bercuti di Kota London dan Paris, akhir Oktober lalu menerima kecaman melalui ruangan komen.

"Namun, saya enggan untuk terus tunduk dengan kecaman itu, sekali gus menjadikan ia pemangkin semangat saya terus melakukan tutorial solekan bagi pengikut kerana mahu membantu wanita tampil cantik, " katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Farahain mula dikenali selepas video berdurasi 25 minit menampilkan dirinya melakukan tutorial solekan berlatarbelakangkan Menara Eiffel dan Kota London dikecam pelayar internet dengan menuduhnya sebagai 'Budak kampung dari Kedah jakun di Kota London.

Selain itu, Farahain yang berasal dari Taman Wira Mergong, dekat sini, turut dituduh sebagai menjatuhkan maruah negara selain menggunakan duit orang ramai dengan pergi bercuti ke luar negara.

Menceritakan semula insiden itu, Farahain berkata, beliau tidak mengetahui aksinya dikecam sehingga beliau dan suami pulang dari bercuti.


SITI Nurfarahain Zakaria membuat tutorial solekan dari Kota London.- Foto ihsan Nurfarahain Zakaria

Katanya, beliau terkejut apabila membaca cerita mengenai dirinya melalui blog tempatan seminggu selepas pulang dari bercuti.

"Semasa saya buat video tutorial itu, saya tidak membaca komen dan hanya menyedari bahawa aksi saya dikecam ketika pulang dari bercuti...namun sebenarnya lebih ramai yang menyokong saya daripada mengecam, " katanya.

Tidak serik meskipun dikecam, malah Farahain mengimpikan untuk membuat tutorial solekan dari Korea pula selepas ini.

Malah hikmah daripada kejadian itu, Farahain akan melancarkan program 'Jalan-jalan Mai Mekap' di akaun Facebook, 'School of Makeup-by Siti Nurfarahain yang menampilkan aksinya melakukan tutorial solekan daripada tempat menarik di seluruh negara.

Beliau yang mempunyai 946,078 pengikut di Facebook berkata, selain menampilkan aksi solekannya, program ini juga akan mempromosikan tempat pelancongan dari seluruh negara.

Selain mengajar solekan di studio miliknya di Sungai Baru Gunung sejak 2015, Farahain juga menjelajah ke seluruh negara bagi tujuan itu dengan mengenakan yuran bermula RM150-RM350 bagi setiap peserta.

5884 dibaca
Berita Harian X