Rabu, 3 Januari 2018 | 5:00pm

Butik kecantikan Malaysia di buka di Jakarta

JAKARTA: Butik kecantikan milik warga Malaysia, Airish London kini membuka cawangannya di Jakarta dengan mensasarkan jualan produk dan perkhidmatannya melebihi Rp50juta (RM14,000) sehari.

Presiden Airish London (Asia) Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, berkata pembukaan cawangan kedua Airish London di Jakarta selepas Malaysia itu, menawarkan kelainan tersendiri apabila turut menawarkan perkhidmatan spa kecantikan termasuk pedicure, manicure dan solekan.

"Airish London berpangkalan di Brick Lane, London yang mula dibuka pada 2014. Pada 2016 kami membuka cawangan di Malaysia (Kuala Lumpur), dan kini mula mengembangkan perniagaan di Jakarta," katanya di sini.

Airish London di Jakarta yang terletak di Jalab Kebun Jerok di sini dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd Aizuddin berkata, cawangan di Jakarta mula beroperasi pada 11 November 2017 dan jualan produk dan perkhidmatannya sehari melebihi Rp20 juta (RM5,600) sehari.

"Kami juga merancang untuk membuka cawangan lain di Bandung, Bali dan Medan.

"Selain itu, sasaran kami juga mahu membuka cawangan di Singapura, Brunei, Filipina dan Vietnam pada 2019," katanya.

Selain menawarkan produk kecantikan, Airish London di Jakarta turut menawarkan perkhidmatan spa, solekan dan penjagaan kuku.

Mohd Aizuddin berkata, Airish London di Jakarta juga bakal menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada warga Malaysia sepanjang berlangsungnya Sukan Asia 2018, di Jakarta pada Ogos nanti.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kejayaan Airish London membuka cawangannya di Jakarta sesuatu yang membanggakan kerana bukan mudah untuk memasarkan produk kecantikan di Indonesia.

"Persaingan produk kecantikan amat tinggi di sini dan usaha gigih Airish London ini perlu menjadi contoh kepada syarikat syarikat Malaysia untuk menerokai pasaran di Indonesia," katanya.BERNAMA

78 dibaca
Berita Harian X