Sabtu, 31 March 2018 | 11:51am

Ghairah cantik bawa padah

GHAIRAH untuk cantik dengan pelbagai produk pelangsingan atau kecantikan boleh mengundang kepada risiko kegagalan buah pinggang.

Kebanyakan produk melangsingkan badan di pasaran, ditambah dengan bahan seperti ubat anti kemurungan dan julap yang dimasukkan secara haram dan boleh mengundang risiko kesihatan.

Felo Nefrologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Lydia Kamaruzaman, berkata pengguna sebenarnya tertipu dengan taktik pengeluar produk semata-mata untuk mendapatkan badan ramping dan wajah putih.

"Akibat kerap membuang air besar, badan terasa ringan kerana kehilangan banyak air tetapi pada masa sama kehilangan vitamin dan mineral kerana khasiat pemakanan tidak sempat diserap oleh tubuh.

"Ubat anti kemurungan pula mengurangkan selera makan dan merbahaya jika tidak dikawal pengambilannya," katanya pada ceramah bertajuk Bagaimana Untuk Ramping dan Cantik Tanpa Merosakkan Buah Pinggang di PPUKM, baru-baru ini.

Ceramah dianjurkan sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Hospital Canselor Tuanku Muhriz, PPUKM.

Penyebab strok Dr Lydia berkata, antara bahan lain digunakan dalam produk pelangsingan badan adalah Ephedra atau Ma Huang, sejenis tumbuhan herba di China.

"Ia membantutkan selera makan tetapi boleh merangsang peningkatan tekanan darah dan dikaitkan dengan masalah jantung, strok dan kematian.

"Bahan seperti sibutramin boleh memberikan kesan sampingan buruk seperti serangan jantung, strok dan sudah diharamkan penggunaannya pada 2010," katanya.

Bahan solekan dan penjagaan kulit yang mengandungi logam berat seperti merkuri, kromium, kadmium dan nikel yang boleh merosakkan fungsi buah pinggang.

Ini kerana ia mengandung logam berat dimasukkan ke dalam bahan solekan seperti maskara, gincu, pembayang mata dan krim pemutih kulit.

Lebih membimbangkan, kini ada bahan solekan dan krim yang dijual secara timbang kilo dari Indonesia dan Thailand, umpamanya secara terbuka menerusi media sosial.

Pembeli akan membungkus dan meletakkan jenama sendiri sebelum diedarkan di pasaran kepada pembeli tanpa perlu didaftarkan.

Dr Lydia menasihatkan pengguna tidak mengambil makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat doktor kerana pengambilan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Pengambilan vitamin C dan A secara berlebihan boleh menyebabkan batu karang di dalam buah pinggang dan seterusnya menjejaskan fungsi organ penting itu.

"Sebagai pengguna, kita harus bijak memilih produk yang selamat dengan membaca label yang terdapat pada bungkusannya atau rujuk kepada laman sesawang Kementerian Kesihatan.

"Dapatkan nasihat doktor atau pakar sebelum mengambil sesuatu produk untuk tujuan kesihatan, kecantikan atau melangsingkan badan," katanya

1313 dibaca
Berita Harian X